SYARAHAN KE 4
SYEIKH ABDUL QADIR AL-JELANI
Apabila kamu ‘mati’ terhadap makhluk, maka dikatakan kepada kamu, “Semoga Allah melimpahkan rahmatNya kepada kamu”, dan Allah akan mematikan kamu dari nafsu-nafsu badaniah. Apabila kamu telah mati terhadap nafsu badaniah, maka akan dikatakan pula kepada kamu, “Semoga Allah akan melimpahkan rahmatNya kepada kamu, maka Allah akan mematikan kamu terhadap kehendak-kehendak dan nafsu. Apabila kamu telah mati terhadap kehendak dan nafsu, maka akan dikatakan pula kepada kamu, “Semoga Allah akan melimpahkan rahmatNya kepada kamu”, maka Allah akan menghidupkan kamu pada satu kehidupan yang baru.
Selepas itu kamu akan diberikan satu kehidupan yang tidak ada mati lagi. Kamu akan dikayakan dengan tidak ada papa lagi. Kamu akan diberi kurniaan yang tidak akan rosak dan habis. Kamu akan diberi kebahagiaan yang tidak ada lagi kesusahan dan kesedihan . Kamu akan diberkati dan tidak lagi dimurkai. Kamu akan diberikan ilmu dan tidak lagi jahil. Kamu akan diberikan kesentosaan dan tidak lagi ketakutan. Kamu akan maju dan tidak lagi mundur. Kamu akan baik dan tidak lagi buruk. Kamu akan dipermuliakan dan tidak lagi diperhinakan. Kamu akan dihampiri Allah dan tidak lagi jauh daripadaNya. Mertabat kamu akan bertambah tinggi dan tidak direndah-rendahkan. Kamu akan dibersihkan dan tidak lagi merasa kotor. Pendek kata jadilah kamu seorang yang tinggi dan mempunyai peribadi yang tersendiri. Jadilah kamu orang yang luar biasa.
Jadilah kamu warisan rasul-rasul, nabi-nabi dan orang sadiqin. Kamu akan menjadi titik akhir bagi segala kewalian dan wali-wali yang masih hiudp akan datang mengunjungi kamu. Melalui kamu, segala kesulitan dapat diselesaikan dan melalui solat kamu dapat memewahkan tanam-tanaman, menurunkan hujan, menghindarkan mala petaka yang hendak menimpa manusia dari segala pangkat dan kedudukan.
Orang akan mengunjungi kamu dari tempat yang dekat mahupun jauh dengan membawa hadiah-hadiah dan buah tangan dan memberi khidmat mereka kepada kamu. Semua ini dengan izin Allah yang Maha Kuasa dan Perkasa jua. Lidah manusia tidak sunyi lagi menghormati dan memuji kamu. Tidak ada dua orang yang beriman yang bertelingkah mengenai kamu. Wahai mereka yang baik-baik yang tinggal di tempat-tempat ramai dan mereka yang mengembara, inilah kurniaan Allah yang mempunyai kuasa yang tidak ada batasan.
Wallahualam.





No comments:
Post a Comment